Kesemua Phablet Lenovo Phab2, Termasuk Phab2 Pro Tidak Akan Menerima Kemaskini Nougat

Ramai pengguna sanggup berbelanja lebih ketika membeli peranti bagi memastikan ia mendapat sokongan dari pengeluar. Bagi mereka yang membeli peranti Lenovo, sokongan kemaskini mungkin bukanlah kriteria terpenting. Tetapi sedikit mengejutkan kesemua peranti di bawah keluarga Phab2 yang dilancarkan hanya tahun lalu disahkan tidak akan menerima kemaskini Nougat.

Ini disahkan sendiri oleh laman sokongan Lenovo. Peranti Phab2, Phab2 Plus dan Phab2 Pro akan kekal menggunakan Android Marshmallow. Bagi pemilik Phab2 Pro ini pastinya membingungkan kerana ia peranti pertama dengan sokongan Google Tango yang membawakan fungsi Augmented Reality. Malahan ia hanya mula dijual November lalu.

Penghentian sokongan kepada Phab 2 dan Phab2 Plus mungkin boleh diterima kerana kedua-duanya menggunakan pemproses MediaTek. Apakah logik disebalik penghentian sokongan kemaskini Phab2 Pro yang menggunakan Snapdragon 650? Dengan pelancaran Lenovo K8 Note semalam yang menggunakan Android asal, diharap masalah tiada kemaskini ini dapat diseleikan.


EmoticonEmoticon