'Kami dianiaya, sedangkan dia (Julian) yang menawarkan diri untuk menjaga 3 anak kami' - Ibu tampil dedah cerita sebenar


JOHOR BAHRU - Susulan viral seorang individu bernama Julian Abd Razak mendakwa tiga beradik ditinggalkan ibu bapanya dalam keadaan tidak terurus dan bergelumangan dengan najis, ibu kepada kanak-kanak berkenaan tampil memberi penjelasan dan menceritakan apa sebenarnya yang berlaku pada hari kejadian.

Menurut Lyka atau nama sebenar, Serley Ranius @ Siti Zulaikha Abdullah, berkata, mereka telah dianiaya oleh Julian Abd Razak. Ini kerana sebelum insiden itu berlaku, Julian telah menawarkan dirinya untuk membantu menjaga tiga beradik berkenaan, sementara Siti Zulaikha dan suaminya menghadiri kursus di kilang tempat mereka bekerja.

DI BAWAH, PENJELASAN PENUH DARI SITI ZULAIKHA ABDULLAH

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Susulan berita tiga beradik diabaikan yang telah viral di laman sosial baru-baru ini, mereka adalah anak saya. Saya ingin menjelaskan di sini, selaku ibu kepada anak-anak saya ini. 

Pada 1 Ogos 2017, jiran sebelah iaitu Puan Julian Abd Razak, berborak dengan saya ketika saya berada di dapur dan sedang memasak. Dia berkata bahawa dia sudi membantu menjaga anak kami semasa ketiadaan kami yang keluar bekerja. 

Kami mendapat panggilan dari kilang tempat kami bekerja yang mana mereka mengkehendaki saya dan suami hadir pada pagi hari untuk kursus selama dua hari mengikut waktu bekerja, bagi menetapkan syif kerja kami. Pendek kata, 7 pagi hingga 7 malam pada keesokan harinya, 2 Ogos 2017

Pada 3 Ogos 2017, saya dan suami pulang ke rumah pada jam 8 malam. Kami lewat satu jam kerana menaiki pengangkutan yang disediakan oleh pihak kilang. Saya pulang ke bilik sewa terlebih dahulu, sementara suami pergi ke kedai runcit untuk membeli barang dapur dan jajan buat anak-anak. 

Saya terserempak dengan tuan rumah yang sedang mencari suami saya. Saya menyangka dia mahu bertanyakan tentang sewa bilik dan saya jelaskan bahawa kami akan menerima gaji pada 23 haribulan. Apabila saya membuka pintu bilik, saya mendapati anak-anak saya sudah tiada. Lalu saya bergegas mendapatkan suami yang ketika itu dalam perjalanan naik ke atas bilik sewa. 


Kami dimaklumkan bahawa anak-anak kami sudah dibawa oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan masa ini saya langsung tidak tahu tentang viral ini. Saya bertanya, kenapa mereka tidak menelefon kami terlebih dahulu. Tuan rumah berkata, mereka ada cuba menghubungi kami tetapi tidak dapat. Sedangkan telefon saya tidak terpadam dan langsung tiada notifikasi yang menyatakan ada panggilan yang tidak dijawab dari mereka. 

Suami saya berbicara dengan mereka, sementara itu saya turun ke bawah mengambil anak bongsu saya yang berusia 8 tahun di rumah pengasuh. 

Pada 4 Ogos 2017, suami membuat laporan polis yang menyatakan dia tidak berpuas hati dengan jiran sebelah bilik kami yang membuat aduan ke JKM. Sedangkan dia sudah berkata bahawa dia akan menjaga anak kami sewaktu ketiadaan kami. 

Pada sebelah malamnya, saya mendapat perkhabaran dan rakan bahawa anak-anak saya telah viral di media sosial sejak dua hari lalu. Saya agak terkejut dan meminta mereka mencari sumber viral itu. Malangnya tidak ditemui kerana post itu telah dipadamkan. Saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana tiada bukti yang benda viral itu adalah benar. 

5 Ogos 2017, suami melayari laman sosialnya dan menemui post dikongsi yang menunjukkan gambar anak-anak kami dengan kapsyen, 'Makan kerak nasi campur kicap dan bergelumangan dengan najis'. 

Suami bertemu dengan saya di tempat kerja dan memberitahu dia menemui post yang dikongsi oleh salah seorang rakannya di laman sosial. Gambar itu adalah anak-anak kami. 

Saya balik ke rumah dan membuka pautan (link) yang diberitahu oleh suami dan dari situ saya mendapat tahu bahawa perkara ini terjadi melalui viral terlebih dahulu sebelum JKM bertindak mengambil anak-anak saya. Dan melalui link itu juga saya mendapat tahu bahawa jiran sebelah bilik kami ini yang menviralkan anak-anak kami. 


Di sini saya ingin tegaskan bahawa, kapsyen yang ditulis adalah tidak benar sama sekali dan sudah ada yang menafikan perkara ini. Kami menyediakan nasi yang betul, bukannya kerak nasi dan tiada najis di atas tilam. Mengenai anak lelaki saya yang tidak berbaju, saya sebagai ibu lebih mengenali anak saya dari orang lain. Anak saya tidak suka dipakaikan baju apabila berada di rumah. Dia akan menangis dan meminta untuk dibukakan. 


Soal penjagaan serahkan kepada keluarga saya di sabah dan keluarga suami di Melaka. Kami tidak hantar ke Melaka disebabkan suami ada sedikit perselisihan faham antara adik-beradik. Tambahan pula ibu kepada suami saya sudah tua dan tidak sihat. 

6 Ogos 2017. Kami pergi ke JKM untuk menuntut anak-anak kami. Tetapi malangnya mereka perlu menunggu arahan dari polis kerana kes viral ini sudah sampai ke Ketua Polis Negara dan pihak JKM sendiri berkata bahawa tiada najis yang mereka temui di dalam bilik sewa kami. Malah mereka berkata, mereka ada menunggu sehingga kami pulang tetapi kami tidak datang. 

Saya bertanya kembali mengapa JKM tidak menghubungi kami. Pihak JKM kata jiran-jiran berkata yang mereka tiada nombor telefon kami. Itu sama sekali tidak benar. Jiran sebelah bilik kami ini ada menyimpan nombor telefon kami. 



Di sini saya nak tekankan bahawa, kami teraniaya. Silap kami mempercayai orang sekeliling. Kami cuma mencari rezeki untuk anak-anak. Suami bekerja seorang diri, gaji yang diperoleh pun hanya cukup-cukup makan sahaja dan kami tiada simpanan langsung. 

Saya hanya inginkan masa depan anak-anak saya terjamin dan ada simpanan untuk kami. Bila anak sakit, tak adalah pening jika ada simpanan. Ibu bapa mana yang mahu melihat anak makan nasi berlauk telur goreng dan kicap saja? Anak-anak pun ada kemahuan mereka sendiri. 

Kami sebagai ibu bapa mana tak sedih? Anak minta beli makanan kesukaan mereka pun kami tak mampu beri. Sebab itu saya dan suami berpakat nak bekerja. Cuma hari itu saya dan suami terpaksa menghadiri kursus pada waktu pagi bagi menetapkan syif masing-masing. Hanya anak bongsu saja yang dihantar kepada pengasuh. Manakala tiga lagi adik-beradik yang lain kami akan jaga secara bergilir-gilir di mana saya bekerja di syif pagi dan suami pula syif malam. 

Soal anak tak cukup pakai, kami baru lagi di sini. Barang-barang anak ada lagi di Melaka. Dakwaan kononnya tiga beradik ini kerap ditinggalkan, saya dan suami cuma meninggalkan yang sulung dan nombor dua. Yang lagi dua kami akan bawa. Itupun saya akan berpesan pada jiran untuk tolong tengokkan. Tetapi tidak lama, itupun sebab kami nak beli barang dapur dengan berjalan kaki ke kedai. Kami tiada kenderaan.

Hati saya risau juga bila meninggalkan anak di bilik dan lebih risau jika membawa mereka semua sekaligus dengan berjalan kaki, dengan banyak kereta lalu lalang. 

Nak cerita panjang di sini tiada gunanya. Lebih banyak tanya kepada saya di Facebook. InshaAllah saya akan jawab. Terima kasih. 


Di awal viral berita keadaan tiga beradik ini, tidak sampai 24 jam status yang dimuat naik oleh Julian Abd Razak viral di media sosial, individu berkenaan telah pun memadamkan video, gambar dan status tersebut sebelum memuat naik gambar yang menunjukkan tiga beradik berkenaan telah diselamatkan oleh JKM.

Dalam soal jawabnya bersama rakan-rakan Facebook yang lain juga mendakwa ibu bapa tiga beradik berkenaan bukan kali pertama meninggalkan anak mereka seperti itu. Malah Julian juga berharap agar pasangan itu mendapat pengajaran.


Berita mengenai tiga beradik itu kemudian mendapat perhatian beberapa media tempatan, yang kemudian turut menarik perhatian pihak berkuasa yang tegas mahu menyiasat perkara itu berdasarkan segala maklumat yang tersebar di media sosial.

Sehingga kini, akaun Facebook Julian Abd Razak tidak dapat dikesan dan dipercayai telah dipadamkan.


EmoticonEmoticon