Buang pelajar sekolah yang terlibat dalam kes buli - Menteri


PASIR PUTEH, KELANTAN - Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid semalam dilaporkan bersetuju jika pelajar yang didapati membuli pelajar yang lain dibuang sekolah, lapor Bernama.

Mahdzir berkata, pelajar yang terlibat dalam kes buli perlu dikenakan hukuman yang paling kerasa agar kejadian tersebut tidak berulang lagi di mana akan datang. Ini kerana katanya, hukuman yang dikenakan pada waktu ini tidak dapat membendung kejadian buli di sekolah yang terus berlaku.

"Saya tidak bersetuju kalau setakat hendak gantung (persekolahan) 10 hari, tak payah. Kita kena buat lebih lagi," katanya. 

Mahdzir lebih bersetuju jika pelajar terbabit dalam kes buli dibuang sekolah. Bagaimanapun, tindakan itu tidak dapat diambil kerana peraturan yang sedia ada tidak membenarkan perkara itu berlaku. 

Mengulas mengenai kejadian buli tiga pelajar sebuah kolej vokasional di Terengganu oleh sekumpulan pelajar dari kolej yang sama, Mahdzir kecewa dan sedih kerana golongan pelajar tidak mengambil iktibar dari kejadian yang menimpa seorang penuntut UPNM yang meninggal dunia akibat dibuli. 

"Saya kecewa dalam masa kita bercakap pasal buli, hukuman, peraturan, kita minta guru, ibu bapa, pelajar jauhkan diri daripada segala perkara yang boleh dianggap sebagai buli tetapi dalam masa yang sama di kolej vokasional tersebut berlaku kes buli," katanya. 

Sementara itu di media sosial, meskipun ramai netizen yang bersetuju dengan pandangan Menteri Pendidikan, namun tidak kurang juga yang membantah.


Segelintir netizen berpandangan bahawa, tindakan membuang pelajar yang terlibat dalam kes buli tidak akan menyelesaikan masalah. Sebaliknya, golongan pelajar pembuli ini perlu diberi kesedaran dengan menjalani hukuman melakukan khidmat komuniti bagi tempoh tertentu. Atau mungkin ada pelbagai lagi cara yang lain untuk mengatasi masalah buli di sekolah.


EmoticonEmoticon