ASUS Lyra – Sistem Router Untuk Rangkaian Internet Rumah Pelbagai Tingkat

Salah satu masalah yang sering membelenggu pengguna-pengguna Internet di rumah ialah ketiadaan isyarat WiFi di sudut-sudut yang berada terlalu jauh dari kedudukan router. Anda boleh membeli aksesori seperti plug range extender, tetapi kebanyakan masa, perkakasan ini tidak dapat memberikan anda kelajuan sebenar sambungan internet anda, dan ini cukup merugikan anda, terutamanya apabila bil internet di Malaysia tidaklah begitu murah.

ASUS hadir dengan sebuah penyelesaian yang cukup mudah untuk digunakan dengan ASUS Lyra. Peranti ini merupakan sebuah pakej router yang boleh digunakan untuk memastikan bahawa seluruh rumah anda mempunyai sambungan ke rangkaian WiFi, dan hadir dengan rekaan yang cukup cantik untuk membuatkannya kelihatan seperti sebuah perhiasan.

Proses setup router ini juga cukup mudah, kerana anda boleh menggunakan aplikasi mudah alih ASUS Lyra yang boleh dimuat-turun daripada Google Play Store dan juga Apple App Store untuk melakukannya.

Setiap pakej ASUS Lyra ini juga hadir dengan tiga unit router yang anda boleh gunakan untuk memanjangkan jarak rangkaian WiFi anda dengan mudah. Setelah anda selesai menghubungkan sebuah unit ASUS Lyra ke Internet, anda hanya perlu menggunakan aplikasi tersebut untuk menyambungkan unit yang kedua dan ketiga diantara satu sama lain.

Sama seperti router ASUS ROG Rapture, router ASUS Lyra ini akan hadir di pasaran Malaysia pada bulan September kelak pada harga RM1999.


EmoticonEmoticon