Asus, HP Dan Lenovo Akan Hadir Dengan Peranti Windows 10 Menggunakan Cip Snapdragon 835

Qualcomm hari ini pada acara Computex 2017 mengambil peluang untuk mengumumkan yang mana beberapa rakan kerjasama pengeluar peranti mereka akan hadir dengan komputer mudah-alih menggunakan Windows 10, dan dilengkapi cip pemprosesan Snapdragon 835. Antara rakan kerjasama yang diumumkan adalah Asus, HP dan juga Lenovo.

Semua syarikat pengeluar ini akan hadir dengan rekaan peranti yang berbeza, tetapi akan memfokuskan kepada rekaan yang nipis dan tanpa kipas, serta dilengkapi dengan sambungan LTE untuk kekal berhubung dengan mudah. Menggunakan cip Snapdragon 835, peranti berasaskan Windows 10 ini dijangka menawarkan masa penggunaan sepanjang hari.

Microsoft sendiri sebelum ini telah memperlihatkan keupayaan menjalankan sistem operasi Windows 10 pada platform ARM. Daripada demo yang dipertontonkan sebelum ini, segalanya berjalan lancar, malah pengguna turut boleh menjalankan beberapa perisian x86.

Kita mungkin akan melihat pengumuman peranti baru berasaskan Snapdragon 835 dan Windows 10 daripada Asus, HP dan Lenovo dalam beberapa bulan lagi.


EmoticonEmoticon