Mencuba Android P Pada OnePlus 6 – Bagaimana Dan Haruskah Anda Melakukannya?

Jenama OnePlus tidak mempunyai jumlah jualan seperti Samsung, Apple dan Huawei. Tetapi kekuatan mereka terletak pada harga jualan yang masih lagi jauh lebih murah berbanding peranti utama lain ynag mempunyai spesifikasi yang setandang.

Sewaktu acara Google I/O 2018 beberapa minggu lepas, buat pertama kalinya Android P Developer Preview 2 (DP 2) telah dibuka untuk bukan sahaja peranti Pixel tetapi peranti pengeluar yang lain . Walaupun masih belum dilancarkan pada waktu tersebut,OnePlus 6 adalah antara peranti yang boleh mencuba Android P DP2. Dalam artikel ini, akan saya ceritakan bagaimana memasang dan  pengalaman penggunaan Android P pada OnePlus 6.

1. Car Pemasangan Sistem Operasi

Disebabkan Android P ini masih lagi dalam bentuk percubaan, pengguna tidak boleh memasang sistem operasi ini secara atas udara (OTA) dan hanya boleh dilakukan secara manual. Pengguna harus memuat turun fail sistemnya di sini, dan letakkan di dalam root storan peranti. Kemudian, buka tetapan peranti dan cari “System updates” > tekan butang gear dan pilih “Local upgrade“. Seterusnya, pilih fail yang anda muat turun tadi dan selepas siap proses pemasangan tekan “reboot“.

2. Gabungan Oxygen OS dan Android asli

Sesudah peranti dihidupkan semula, anda perlu menetapkan semula peranti seperti kali pertama dikeluarkan dari kotak. Anda akan perasan, pelancar yang digunakan pada Android P dalam OnePlus 6 adalah pelancar Oxygen OS dan bukannya pelancar Android asli. Rekaan recent apps dan notifikasi juga sama dengan Oxygen OS versi Oreo. Sedih sekali, Shelf pada Android P ini tidak mempunyai fungsi yang lengkap seperti ketiadaan aplikasi nota danjuga widget pengurusan peranti.

Tidak tahu kenapa, aplikasi panggilan telefon dan permesejan masih menggunakan versi yang sama hadir pada Oxygen OS Oreo. Walau bagaimanapun, aplikasi permesejannya menyokong ciri Android P iaitu “Quick reply“. Talam ikon pintasan tetapan pula menggunakan rekaan Android P tetapi dalam OnePlus 6 ia menggunakan tema warna hijau dan bukannya biru seperti Android P asli.

Tetapan dalam Android P OnePlus 6 ini turut menggunakan rekaan Android P Android asli iaitu rekaan ikon berbentuk bulat dan juga berwarna-warni. Sedikit mengecewakan, hampir kesemua ciri dan fungsi unik Oxygen OS telah dibuang dan ia terus menjadi seperti peranti Pixel yang hanya mempunyai tetapan asas.

Aplikasi panggilan telefonnya masih tidak stabil dan gambar profil kenalan tidak dapat dipaparkan dengan baik. Sistem menggantikannya dengan corak garisan menegak seperti yang dapat anda lihat di bawah.

Rekaan “About phone” juga mempunyai perubahan. Ia kini lebih kemas dan segala maklumat lebih mudah untuk dilihat. Ruang pengurusan bateri peranti pula hampir sama dengan Android Oreo dan tidak mempunyai sebarang perubahan mendadak, sebaliknya hanya mempunyai sedikit perubahan antaramuka.

3. Tiada Kawalan Gesture Baru

Semasa acara Google I/O, antara perkara menarik dalam Android P adalah kawalan gesture  serta rekaan baru recent apps yang lebih cantik, kemas dan juga efisien. Sayang sekali dalam Android P OnePlus 6, kawalan gesture ini tidak disertakan. Lebih mengecewakan, kawalan gesture Oxygen OS juga tidak disertakan juga. Bagi mereka yang sudah membiasakan diri dengan kawalan berasaskan gesture, mereka perlu kembali semula kepada navigasi menggunakan butang sepanjang tempoh ujian DP 2 ini.

Mengenai rekaan recent apps pula, lebih dua minggu yang lalu CEO OnePlus – Pete Lau membuat kicauan menanyakan sama ada pengguna menginginkan rekaan recent apps Oxygen OS ataupun rekaan Android P. Berdasarkan maklum balas kicauan tersebut, secara majoriti menginginkan rekaan yang digunakan oleh Android P.

4. Adakan Ia Stabil Untuk  Kegunaan Harian?

TIDAK, JANGANLAH ANDA CUBA, JANGAN BAZIR MASA

Itu adalah amaran saya, jika anda ingin mencuba Android P pada OnePlus 6. Antara masalah yang saya hadapi sebaik sahaja memasang Android P ini adalah bootloop. Peranti saya hanya memaparkan skrin boot dan ia tersekat selama 2 jam. Saya kemudiannya membuat pemasangan secara ADB sideload – sayang sekali, masalah bootloop ini masih berterusan.  Sebagai langkah terakhir, saya memaksa peranti masuk ke mod recovery untuk format dan memadam dalvik serta cache. Akhirnya setelah 3 jam masa saya dibazirkan, saya berjaya boot masuk ke Android P OnePlus 6.

Ia tidak berhenti di situ sahaja, sebaik saya menatal ke kiri pelancar Oxygen OS untuk mencuba Shelf, skrin secara tiba-tiba menjadi gelap dan terus tidak hidup. Tetapi butang kuasa apabila ditekan masih lagi terasa gegarannya, hanya skrin sahaja tidak berjaya memaparkan kandungan. Kemudian, saya reboot dan selepas masuk kembali terdapat beberapa glitch pada grafik. Senarai pepijat lain  yang saya alami setakayt ini adalah seperti di bawah:

  1. VoLTE tidak berfungsi.
  2. Ketidakserasian sambungan Bluetooth.
  3. Wi-Fi SoftAP pengurus peranti tidak berfungsi.
  4. Rakaman gerak perlahan tidak stabil.
  5. Tiada fungsi nyahkunci berasaskan wajah.
  6. Widevine L1 tidak berfungsi (fungsi penstriman HD untuk Netflix).

5. Bagaimana Mengembalikan Semula Ke Oxygen OS

Di dalam pautan yang saya berikan di atas, terdapat juga fail sistem yang boleh dimuat turun untuk pengguna kembali kepada Oxygen OS yang stabil. Cara yang sama dengan pemasangan yang saya terangkan di atas. Fail sistem untuk kembali ke Oxygen OS stabil adalah 1.4GB.


Menerusi  ujian Android P DP 2 ini, OnePlus sedang menguji ciri-ciri Oxygen OS dalam Android P sambil ingin mengekalkan ciri estetika Android asli. Jika Oxygen OS sudah pun hampir kepada Android asli, adakah Oxygen OS versi Android P nanti akan lebih ke arah gaya Pixel? OnePlus 6 sudah pun menjadi peranti pertama OnePlus yang menggunakan sistem kemaskini “Seamless Update” iaitu peranti kedua di dalam dunia yang mempunyai sistem kemaskini ini selepas Pixel.

Sebagai seorang yang amat menggemari Android asli, kami menggemari rekaan pada Oxygen OS kerana ia mengekalkan rekaan minimalis Android asli tetapi mempunyai pelbagai fungsi tambahan yang memudahkan kegunaan harian.

Saya berharap, Oxygen OS berasaskan Android P  versi penuh kelak akan mengembalikan ciri kawalan gesture dan juga jika penggunaan GApps penuh seperti Google Phone dan Google Message untuk peranti OnePlus. Sekali lagi ingin saya ingatkan, jika anda ingin mencuba Android P DP2 pada OnePlus 6, anda harus mempunyai kesabaran serta keazaman yang tinggi kerana terdapat terlalu banyak pepijat. Lakukan proses ini sekiranya anda yakin dengan kemampuan membaiki masalah yang bakal ditempuhi.


EmoticonEmoticon