Lenovo Transform Summit – Ketahui Perubahan Yang Ingin Dibawa Oleh Lenovo

Lenovo boleh dikatakan antara pengeluar yang agak aktif dalam membawa perubahan baru sejajar dengan permintaan pengguna pada saat ini. Pada awal tahun lalu, Lenovo dalam satu acara media tertutup telah berkongsi yang mana mereka sentiasa mencari solusi pemasaran produk berasaskan PC yang terbaik, dengan menawarkan pelbagai form-factor untuk PC sebagai memberi pilihan kepada pengguna.

Pada acara Lenovo Transform Summit ini, mereka telah berkongsi dengan beberapa perkara lagi, terutama fokus untuk pengguna perusahaan seperti kegunaan data center. Dengan sokongan di 160+ buah negara, mereka mampu untuk menawarkan produk dan perkhidmatan yang terbaik, disamping memberikan khidmat selepas jualan yang memenuhi standard pengguna.

Acara ini telah memperlihatkan tiga bahagian perubahan yang sedang dilakukan Lenovo — merangkumi transformasi dari segi Customer Experience, Data Center, dan struktur penawaran produk dan syarikat Lenovo.

Untuk bahagian Customer Experience, Lenovo telah berkongsi yang mana mereka kini mempunyai kadar kepuasan pengguna nombor 1 dalam 22 bahagian berbeza. Antara bahagian yang meliputi kepuasan pengguna ini adalah seperti sokongan di sosial media, one-time services dan setup, kesediaan produk jualan dan alat gantian, sokongan telefon, serta khidmat ketika penyelenggaraan. Untuk produk berasaskan perusahaan ini, mereka juga di antara pengeluar produk x86 yang mempunyai kadar downtime yang rendah, dengan kadar hanya 1% berbanding produk lain yang mempunyai kadar downtime yang tinggi.

Pada bahagian Data Center pula, mereka telah sedia mempelajari selok-belok dunia perusahaan menerusi produk ThinkPad, yang kini telah berkhidmat untuk pengguna sekitar 25 tahun. Dengan kesungguhan Lenovo yang tidak gentar dengan cabaran, berani mengambil risiko, dan sentiasa mendengar maklum balas pengguna, mereka ingin menjadi pengeluar produk perusahaan dan data center yang terbaik, walaupun mempunyai persaingan yang kuat daripada pengeluar lain.

Untuk memperluaskan lagi portfolio mereka dalam arena ini, mereka telah memperkenalkan dua keluarga produk baru untuk perusahaan di Malaysia, menerusi perkenalan ThinkSystem dan ThinkAgile.

Sebagai permulaan, keluarga ThinkSystem meliputi produk yang berkaitan dengan server yang dijana dengan Intel Xeon, bersama penawaran storan dan juga rangkaian. Manakala untuk ThinkAgile pula, ia adalah sebuah jenama yang memfokuskan kepada produk data center yang direka secara pre-built, pre-integrated, dan pre-tested untuk mengurangkan masa ketika membuat proses deployment. Sebagai contoh dalam siri ini, ThinkAgile SX telah didatangkan dengan Microsoft Azure Stack secara terbina sekaligus memudahkan golongan profesional untuk menguruskan server jenis ini.

Dengan hampir 25 tahun pengalaman dalam pembangunan server x86, mereka turut menerima kepuasan pengguna perusahaan nombor 1 dalam industri ini, selain menjadi pengeluar no. 1 yang mempunyai server reliability yang baik. Apa yang menarik sekali, mereka telah menjuarai lebih 150 penanda aras untuk pengkomputeran x86 di dunia, selain menjuarai lebih 42 penanda aras dunia daripada produk ThinkSystem baru mereka. Dengan kejayaan ini, ia memberi keyakinan kepada syarikat perusahaan untuk menggunakan produk x86 daripada Lenovo atas penawaran prestasi dan kualiti yang cemerlang daripada produk mereka.

Aspek ketiga yang diberi penekanan pada acara ini adalah perubahan dari segi struktur penawaran produk dan syarikat Lenovo sendiri, dengan mempelbagaikan segmen produk dan perkhidmatan untuk pengguna perusahaan. Untuk meningkatkan lagi keyakinan pengguna, mereka telah menambah baik dari segi struktur jualan dan pemasaran, jumlah bekalan, kualiti, dan memfokuskan lagi segmen produk yang menarik untuk pengguna. Selain daripada struktur produk, Lenovo juga telah mengubah struktur syarikat mereka sendiri dengan senarai kepimpinan yang baru untuk mengukuhkan lagi jenama Lenovo di mata dunia.

Pada acara ini, Han Chon, iaitu General Manager Data Center Group Lenovo untuk ASEAN, telah menyatakan hasrat untuk memperluaskan lagi penawaran produk mereka dalam arena data center ini untuk memenuhi permintaan spesifik daripada pengguna. Beliau juga berkata, permilihan Malaysia untuk pemasaran ThinkSystem dan ThinkAgile adalah penting kerana mempunyai jumlah syarikat dan pengguna yang besar apabila dibandingkan dengan negara ASEAN yang lain.

Dengan acara seperti ini, kita dapat melihat kesungguhan Lenovo untuk menguasai kembali pasaran perusahaan, setelah dibangunkan oleh IBM buat sekian lama setelah diambil-alih oleh mereka (dari segi produk server berasaskan Intel) pada tahun 2014. Dengan penawaran produk seperti ThinkSystem dan ThinkAgile, Lenovo menyajikan keluarga produk yang jelas, selain memberi kualiti produk dan khidmat jualan yang terbaik berbanding pengeluar lain. Dengan perubahan ini juga, fokus Lenovo kini tidak lagi menjadi syarikat untuk mengeluarkan produk berasaskan hardware sahaja, tetapi ingin berkerjasama dengan entiti perusahaan dengan lebih dekat lagi, dalam terus menawarkan solusi dan perkhidmatan yang cemerlang untuk digunakan oleh pengguna.


EmoticonEmoticon