Volvo Akan Hanya Mengeluarkan Kenderaan Hibrid Menjelang 2019

Kenderaan dengan enjin bahan api fosil sudah wujud sejak 1876. Era kenderaan yang mencemari alam sekitar ini mungkin akan berakhir dengan kepopularan kenderaan elektrik dan hibrid. Volvo menjadi nama besar pertama yang mengumumkan mereka tidak akan lagi menghasilkan kereta yang hanya menggunakan enjin bahan api fosil.

Menjelang 2019, kesemua model yang dihasilkan akan menggunakan enjin hibrid bahan api fosil dan elektrik. Di antara 2019 dan 2021, mereka akan melancarkan lima kenderaan elektrik sepenuhnya. Keputusan untuk tidak lagi menghasilkan kenderaan dengan enjin konvensional adalah bagi mengurangkan pencemaran udara dan mendengar maklum balas yang diberikan oleh pelanggan.

Volvo sudahpun mempunyai beberapa model kenderaan hibrid di pasaran seperti XC90 Hybrid. Mereka berharap akan dapat menjual sejuta kenderaan elektrik menjelang 2025.

Volvo ialah syarikat yang terkenal dengan inovasi di dalam dunia automotif. Mereka yang pertama meletakkan tali pinggang keledar tiga titik sebagai standard dan memasang kerusi untuk bayi. Mereka juga telah menghasilkan kereta kalis maut yang setakat ini masih belum terlibat dalam sebarang kemalangan maut.


EmoticonEmoticon