'Anak saya 24 jam nak berdukung'


"Aduh, letihnya tangan. Anak suka sangat berdukung. Nak buat kerja pun susah. Berenggang kejap pun dah menangis macam apa," keluhan si ibu. 

Masalah yang seringkali berlaku pada mana-mana ibu bapa. Namun, mengapa anak-anak kecil suka berdukung? Dan bagaimana caranya untuk mengatasinya? Baca penjelasan dan tips dari Puan Maryam Jamadi. Semoga bermanfaat.

Sejak post sebelum ini viral, ramai yang 'pm' dan comment bertanya tentang bagaimana mahu mengatasi masalah anak yang suka berdukung setiap masa dan akan menangis jika diletakkan di bawah. Adakah nak biarkan saja dia menangis atau ikut kehendak dia? 

Pertama, kita perlu faham kenapa bayi suka didukung. Begini, bayi secara fitrahnya memang suka didukung kerana secara tidak langsung dia akan dipeluk dan terasa dibuai, didodoi seperti duduk dalam rahim ibunya lagi. 

Perkara ini saya suka kaitkan dengan Pyramid of Learning (Williams and Shellenberger), ada 3 core sensory yang menjadi asas dalam piramid ini iaitu:
  • Tactile (deria sentuhan)
  • Vestibular (deria keseimbangan/balance)
  • Propioception (deria sendi/joint senses)

Sejak dari lahir, bayi memerlukan semua deria ini dalam proses perkembangan otak. Sebab itu, bayi yang normal memang suka dibelai (deria sentuhan), suka dipeluk (deria sendiri) dan suka didukung (deria keseimbangan). 

Tiga deria penting ini memang sangat diperlukan untuk perkembangan otak bayi. Setiap bayi berbeza keperluannya. Jadi, jangan bandingkan anak kita dengan anak orang lain. Tugas kita ialah memenuhi semua keperluan deria ini, bukan hanya dengan berdukung sahaja. 

Ada banyak lagi cara yang lain untuk memenuhi keperluan sensori bayi. Tak perlu beli apa-apa pun, cuma guna apa yang ada sahaja. Contohnya:

TACTILE (DERIA SENTUHAN)
  • Pakaikan losyen pada bayi sambil membelai-belai seluruh badannya.
  • Sambil minum susu, boleh usap-usap kepala bayi.
  • Baringkan bayi di atas baju yang belum dilipat, lagi banyak jenis material kain, lagi bagus.
  • Beri bayi genggam jari jemari kita.
  • Usap tangan dan jari jemari bayi.
  • Beri bayi bermain dengan pelbagai jenis tekstur dan bentuk.

VESTIBULAR (DERIA KESEIMBANGAN)
  • Letak dalam buaian ataupun bouncer semasa dia sedar.

PROPRIOCEPTION (DERIA SENDI/JOINT SENSE)
  • Urut selepas mandi. Ini sangat penting dan tolong jangan skip untuk bayi baru lahir. 
  • Pakaikan bedung untuk bayi baru lahir.
  • Selalu buat 'tummy time' seawal baru lahir.
  • Peluk bayi.

Cara di atas ini boleh dilakukan untuk bayi baru lahir bagi memenuhi keperluan sensori mereka. 

Kedua, kenapa bayi suka berdukung adalah disebabkan Seperation Anxiety (resah bila berpisah). Ini normal dalam proses perkembangan emosi bayi. Bila kita hilang dari pandangan, bayi akan rasa kita akan hilang selama-lamanya. Sebab itulah bila kita letak dia ke bawah, dia menjadi risau kita 'hilang'. 

Biasanya perkara ini bermula apabila bayi sudah kenal dengan orang di sekeliling. Lagi teruk bila pergi ke rumah orang, bayi tak nak lepas. Nak melekat sahaja. Biasanya bermula seawal usia 6-7 bulan dan waktu genting sekitar 10-18 bulan dan mungkin akan berterusan sehingga umur dua tahun. 

Jangan risau, ini semua akan hilang mengikut masa. Perlu diingatkan bahawa setiap bayi adalah berbeza. Nikmatilah masa anak mahu berkepit dengan kita dan tanamkan dalam fikiran bahawa kita adalah nombor satu dalam carta hati. 

Tetapi berdukung/melekat 23 jam ini mungkin akan menimbulkan masalah lain sekiranya bayi kurang 'tummy time', meniarap atau merangkak. Jadi ibu bapa perlu buat sesuatu agar bayi belajar yang kita tidak 'hilang'. Caranya:

1. Ajar konsep 'bye-bye'. Bila kita ke mana-mana, cakap 'bye, ibu pergi toilet/dapur ni". Kalau baru-baru dia memang akan menangis. Jadi kita pergi sekejap saja, main cak-cak dengan dia. Bila dah selalu buat, dia dah faham konsep "bye", barulah boleh pergi lama sikit. 

2. Kena selalu bercakap dengan bayi walaupun dia tak faham. Beritahu yang anda mahu pergi ke tandas, nak pergi makan, nak ke mana-mana sekalipun perlu report pada big boss. Lama-kelamaan dia akan faham, makan di dapur, tandas di mana dan sebagainya. 

3. Kalau pergi ke mana-mana, bawa mainan yang dia biasa main untuk dia rasa selamat seperti di rumah. Cara ini boleh dikurangkan jika anak sudah boleh biasakan diri dengan tempat baru.

4. Kalau punca berdukung sebab bosan, beri dia pegang apa-apa jenis barang baru yang selamat. Contohnya bila ke dapur, beri main senduk, tupperware, bekas-bekas yang selamat untuk mengalihkan perasaannya yang mahu berdukung itu. 

5. Untuk yang sudah pandai merangkak atau berjalan, selalu bermain kejar-kejar dengannya. bila dia datang dekat nak minta didukung, kita lari sambil gelak-gelak. 

6. Cara terakhir, kalau bayi minta dukung tetapi kita cakap kita ada kerja yang perlu dibuat, biarkan dia menangis dan jangan pandang langsung. Muka senyum dan relaks sahaja. Selepas selesai kerja, cakap "Okay dah siap" sambil pandang anak. Masa ini barulah boleh pergi pada anak. Lama-kelamaan anak akan percaya yang kita tak abaikan dia, cuma ada kerja sekejap. 

Yang penting, dalam semua di atas adalah emosi kita semasa mengatasi masalah anak nak berdukung. Kena relaks, muka pun tak boleh berkerut dan senyum saja semasa letak di bawah. Jangan ada sikit pun rasa bersalah sebab bayi boleh mengesan emosi dan reaksi kita berkerut yang kelam kabut itu. 

Semoga bermanfaat. Terima kasih. 

Occupational Therapst


EmoticonEmoticon